06 June 2012

MAJLIS KEMPEN MENCINTAI PERPUSTAKAAN DAN PAMERAN SURAT-SURAT PERJANJIAN BRUNEI


Majlis kempen mencintai perpustakaan dan pameran surat-surat perjanjian Brunei merupakan anjuran Bahagian Sumber, Pusat Sejarah Brunei yang akan diadakan pada 6 Jun 2012 bertempat di Perpustakaan Tingkat 1, Pusat Sejarah Brunei. Majlis ini diadakan  sebagai satu cara pendekatan bagi mempromosikan dan menyebarluaskan sumber maklumat dan infomasi sejarah negara kepada masyarakat khususnya generasi muda. Melihat generasi muda sebagai aset negara maka kempen dan pameran ini dilaksanakan demi memberi pendedahan kepada mereka bahawa bidang sejarah sebagai sesuatu yang menarik untuk diketahui dan dipelajari.
Bersempena majlis tersebut pelbagai aktiviti akan dijalankan sepanjang tahun yang dikhususkan untuk  penuntut sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi yang akan diadakan sewaktu cuti penggal persekolahan bertempat di Perpustakaan Pusat Sejarah Brunei. Antara aktiviti tersebut seperti mari bercerita, teater, kuiz, mewarna, bermain silang kata  dan menyaksikan tayangan filem dokumentari sejarah.
Sehubungan itu, pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi yang berminat untuk menyertai aktiviti tersebut bolehlah menghubungi Perpustakaan Pusat Sejarah Brunei pada waktu pejabat dibuka.
Tujuan kempen dan pameran ini diadakan:
1)    Menanamkan semangat untuk mencintai sejarah demi raja, agama, bangsa dan negara.
2)    Memberi pendedahan dan peluang kepada generasi muda untuk sama-sama menerokai bidang sejarah yang boleh diaplikasikan dalam pelbagai aktiviti.
3)    Melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, pemikir dan kreatif dalam bidang sejarah dari peringkat awal lagi.
4)    Mengimbas kembali zaman kegemilangan empayar kesultanan Brunei.
5)    Menjadikan iktibar, panduan, tauladan dan rujukan kepada generasi hari ini dalam membuat sesuatu tindakan dan keputusan.
6)    Menyebarluaskan peranan dan fungsi Pusat Sejarah Brunei sebagai Pusat Sumber Persejarahan Brunei dan Borneo Research Centre.


13 March 2012

LAWATAN MURID DARI SEKOLAH RENDAH AWANG HAJI MOHD YUSOF KATIMAHAR, SEKOLAH RENDAH PENANJONG DAN SEKOLAH RENDAH PANCHOR MURAI

Lawatan Guru-guru dan Murid-murid dari 3 Buah Sekolah Rendah Daerah Brunei/Muara terdiri dari Sekolah Rendah Katimahar, Sekolah Rendah Penanjong dan Sekolah Rendah Panchur Murai mengadakan aktiviti-aktiviti iaitu peraduan mewarna lukisan, mari bercerita dan teka silangkata (puzzle) bagi murid-murid darjah 4, 5 dan 6 di Perpustakaan Pusat Sejarah Brunei dan juga menyaksikan gambar tayangan video dokumentari Pusat Sejarah bertempat di Panggung Sejarah, Pusat Sejarah Brunei.

SEKOLAH RENDAH AWANG HAJI MOHD YUSOF, KATIMAHAR

Pada : Hari Sabtu
Tarikh : 10hb Mac 2012
Jam : 8.15 pagi
Aktiviti : Mewarna, Bercerita & Kuiz dan Pengambilan Ahli


SEKOLAH RENDAH PENANJONG, TUTONG 1

Pada : Hari Sabtu
Tarikh : 10hb Mac 2012
Jam : 2.00 petang
Aktiviti : Mewarna, Puzzle, Bercerita &  Kuiz dan Pengambilan Ahli


SEKOLAH RENDAH PANCHOR MURAI

Pada : Hari Isnin
Tarikh : 12hb Mac 2012
Jam : 8.30 pagi
Aktiviti : Mewarna, Puzzle, Bercerita & Kuiz dan Pengambilan Ahli


03 March 2012

SEKOLAH MENENGAH P.A.P HAJAH MASNA, LAMBAK KANAN : MINI KARNIVAL SEJARAH " SAYANG BRUNEI "

Pada : Hari Selasa
Tarikh : 28hb Februari hingga 1hb Mac 2012
Jam : 8.00 pagi hingga 4.00 petang
Bertempat : Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Lambak Kanan.

Dewan Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Lambak Kanan

Aktiviti-aktiviti yang diadakan iaitu membukakan pendaftaran kad ahli bagi pelajar-pelajar yang mana ingin menjadi ahli perpustakaan Pusat Sejarah Brunei.

28 February 2012

PUSAT TINGKATAN ENAM KATOK: BRUNEI DAY

Pada : Hari Sabtu dan Isnin
Tarikh : 25hb Februari 2012 dan 27hb Februari 2012
Jam : 8.00 pagi hingga 4.00 petang
Tempat : Dewan Serbaguna, Pusat Tingkatan Enam Katok

Aktiviti : Aktiviti selama dua hari ini yang mana unit perpustakaan membukakan pendaftaran bagi pelajar-pelajar yang ingin menjadi ahli perpustakaan Pusat Sejarah Brunei dan manakala, unit arkib mempamerkan buku-buku, manuskrip, surat perjanjian dan lain-lain.






23 February 2012

MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN PROJEK PEMULIHARAAN MANUSKRIP KHAS PUSAT SEJARAH BRUNEI

Satu majlis menandatangani perjanjian projek pemuliharaan manuskrip khas Pusat Sejarah Brunei telah diadakan pada hari Rabu, 22 Februari 2012, jam 3:15 petang bertempat di Panggung Sejarah, Pusat Sejarah Brunei. Hadir bagi menyaksikan majlis tersebut ialah Awang Hanafi bin Haji Salleh, pegawai sejarah kanan dan Awang Haji Zaine bin Mohd Daud, pegawai pentadbir Pusat Sejarah Brunei serta pegawai-pegawai dan kakitangan yang terlibat dalam majlis tersebut.

Acara dimulakan dengan bacaan Suratul Fatihah bagi memberkati majlis diikuti dengan penandatanganan antara Pusat Sejarah Brunei dengan dua konsultan yang dilantik.





13 February 2012

LAWATAN HIS EXCELLENCY KAMALESH SHARMA, SECRETARY-GENERAL OF THE COMMONWEALTH KE PUSAT SEJARAH BRUNEI

Pusat Sejarah Brunei telah menerima satu lawatan daripada Isteri Tuan Yang Terutama Kamalesh Sharma, Secretary-General of The Commonwealth pada hari Sabtu, 11hb Februari 2012, jam 4:00 petang. Bagi mengalu-alukan Isteri Tuan Yang Terutama, lawatan bermula di foyer Pusat Sejarah Brunei yang mana kemudiannya diteruskan ke Bilik Perpustakaan bagi menyaksikan Pameran Projek-Projek Pusat Sejarah Brunei dibiayai oleh CFTC dan koleksi sumber.